Friday, March 9, 2007

Rencana Khas sempena bulan kemerdekaan 2006 Malaysia-APA ITU MERDEKA



APA ITU MERDEKA




APAKAH ERTI KEMERDEKAAN

Kemerdekaan bermakna kebebasan. Ia juga membawa maksud membebaskan diri dari belenggu kemiskinan, kebendaan, kekurangan, kekejaman, kejahilan serta pemikiran yang sempit dan paling penting membebaskan diri sendiri dari sifat-sifat keji dan akhlak yang buruk.

JIWA YANG MASIH MISKIN


Belenggu kemiskinan ekonomi dan kerakusan manusia mengejar kebendaan dan kekayaan semata serta sanggup melakukan perkara-perkara di luar batas sifaf-sifat kemanusiaan sejagat masih melanda dunia, negara dan diri kita adalah satu contoh dimana kemerdekaan masih belum dikecapi bagi setiap manusia. Ditambah pula dengan kegagalan diri kita untuk mengatasi setiap permasalah hidup yang kita hadapi setiap hari menyatakan bahawa sikap perhambaan pada harta benda yang masih menebal. Seseorang yang sentiasa mengejar akan kebendaan dan
mengumpul harta untuk dirinya sahaja adalah seorang manusia yang belum boleh dinyatakan sebagai seorang yang merdeka. Selagi dia merasa tidak cukup dengan apa yang diperolehinya dan tidak pula bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan padanya dan rakus serta tamak pula dalam mencari jalan mendapatkan sentiasa mementingkan dirinya sahaja tanpa memikirkan kesan buruk pada orang lain maka mereka masih tergolong dalam orang-orang yang masih miskin. Walaupun kaya dengan harta benda tapi jiwanya masih miskin, lapar dan dahaga.

Jiwa yang masih miskin ini sentiasa akan merasa tidak tenang dan memberontak walaupun di serahkan segunung emas sekalipun kepadanya, segala kehendaknya sentiasa tidak akan dapat dipuaskan. Di dalam jiwa yang miskin ini jugalah akan tersarang segala sifat-sifat yang keji bahkan hijabnya dengan Allah sentiasa terus menebal . Selagi golongan ini tidak memerdekakan jiwanya dengan cara membaja, memberi makan dan minum kepada jiwa diri mereka, selama itu jualah jiwa mereka ataupun lebih tepat lagi rohani mereka tetap kosong, terikat, terbelenggu, tertutup pada kebenaran dan menjadi hamba kepada kerakusan hawa nafsu mereka sendiri dan tidak merdeka.


JIWA YANG KAYA

Seeorang yang berjiwa kaya akan mudah merasa bersyukur dan dapat menggunakan nikmat yang dianugerahkan kepada serta mentadbir kekayaannya itu dengan baik. Dia dapat memberikan sebahagian atau sedikit daripada nikmat tersebut kepada orang lain yang meminta dan memerlukan. Sebab itulah Ugama Islam sentiasa menggalakkan kita menyumbang sebahagian dari harta dan tenaga kita seperi melalui pemberian zakat fitrah, amal jariah dan sedekah . Di dalam hati sanubari jiwa yang kaya tertanam sifat kasih sayang yang tinggi sesama manusia dimana walaupun mereka miskin harta benda tetapi jiwa mereka kaya sudi membantu kepada yang memerlukan. Mungkin tidak secara wang ringgit tetapi dengan cara memberi nasihat yang baik dan menafaatkan ilmu yang ada ataupun menyumbangkan tenaga serta buah fikiran mereka ke arah kebaikan dan kebajikan.

Bantuan yang mereka hulurkan tidak mengharapkan sebarang balasan cukuplah dengan mendapat keredaan di sisi Allah S.W T. Kekayaan sebenarnya adalah kekayaan jiwa , jiwa mereka tetap tenang lantaran rohani mereka sentiasa subur dan cukup makanan dan minuman dan dihiasi dengan pakaian taqwa. Golongan ini berjaya memerdekakan dan membebaskan dirinya dari belenggu nafsu yang jahat.


ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN

Apakah ertinya kita telah merdeka . Sesungguhnya negara kita telah selama 49 tahun telah diistiharkan sebagai negara merdeka. Setelah kita merdeka maka berkibarlah jalur gemilang dengan megah sebagai lambang kita adalah sebuah negara berdaulat bebas dari cengkaman penjajah. Setelah di istiharkan kita merdeka barulah kita memiliki sebuah negara, kemudian barulah terbentuknya rukun negara yang lima yang wajib kita junjung dan patuhi seperti kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan pada Raja dan negara, kedaulatan undang-undang, keluhuran pelembagaan dan kesopanan dan kesusilaan. Setelah kita merdeka juga barulah kita boleh mentadbir negara kita dengan sendiri mengikut undang-undang yang kita rangka sendiri agar kita dapat berusaha membangunkan tanah air kita kearah kedamaian dan kemakmuran yang berkekalan.

Negara ini adalah milik mutlak kita sejati selepas kita merdeka, mana mungkin kita boleh mendakwa negara ini telah kita miliki sekiranya kita masih lagi tidak merdeka. Kemerdekaan itu perlu kita miliki dan kita tuntut sepanjang masa Sesungguhnya zaman telah berubah pada masa dahulu siapa yang gagah dan kuat dialah paling berkuasa dan menjadi pemerintah sesebuah negara, negeri, daerah dan kawasan. Penjajah telah berjaya menguasai negara kita dengan berbagai cara samada secara halus, tipu helah, dan kekuasaan persenjataan. Sejarah telah membuktikan sikap dan kerakusan mereka menguasai mereka . Sekiranya kita imbas kembali sejarah kejatuhan Melaka ditangan portugis . Banyak pengajaran telah telah kita pelajari dari peristiwa tersebut adakah kita mahu mengulanginya dizaman sekarang. Ada sebuah bahasa kias yang orang tua-tua dahulu telah diperturunkan kepada kita sebagai pengajaran agar kita sentiasa beringat dan mengambil iktibar darinya.


Gedak-geduk limau lelang,
Makan sagu perut tak kenyang,
Gedak-geduk limau nipis,
Makan sagu perut kempis
Emak melayu bapa Perancis
Negeri Melaka diserah Portugis


Persoalannya adalah bagaimanakah supaya dapat kita memiliki dan mengisi kemerdekaan itu. Cukupkah dengan hanya melaungkan Merdeka! Merdeka ! Merdeka pada setiap detik 31 Ogos tengah malam.Cukupkah dengan kewujudan Dataran Merdeka telah kita sempurnakan kemerdekaan itu. Cukupkah dengan kemajuan pembangunan negara kita dengan terbinanya bangunan pencakar langit yang mencecah awan seperti bangunan berkembar KLCC menyatakan kita benar-benar telah merdeka. Cukupkah dengan berarak dan dan menyaksikan perarakan kemerdekaan setiap tahun di seluruh negara telah membuktikan kita telah benar-benar merdeka.

Sesungguhnya memanglah benar negara kita telah merdeka. Satu dunia mengiktiraf kemerdekaan kita dari pihak penjajahan bermula dari zaman Portugis, Belanda, Jepun dan akhir sekali dari penjajahan Inggeris. Tetapi bagaimana untuk mengisi kemerdekaan tersebut dan siapa yang perlu mengisinya. Jawapannya ada pada diri kita sendiri.

"Tepuk dada tanyalah selera "


KENAPA PERLUNYA KITA MENUNTUT KEMERDEKAAN DIRI.

Ada sesetengah dari kita merasa diri terlalu sempurna kerana telah memiliki apa yang telah diingininya. Segala kemahuannya dan kehendaknya sentiasa mahu dituruti oleh orang lain. Apabila ada kehendaknya tidak dapat di penuhi maka timbulah perasaan marah dalam diri mereka . Mereka sanggup melakukan berbagai cara untuk mencapai matlamat . Kenapa jadi begini ? Ini adalah akibat dari jiwa mereka masih terbelengu dan masih mengikut kehendak hawa nafsu serakah yang rakus. Sungguhnya apa juga ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku adalah kezaliman yang kita sendiri cipta. Allah tidak zalim bahkan manusia itu sendirilah yang telah menzalimi diri mereka sendiri. Yang berkuasa akan menzalimi orang lemah, yang kaya pula menindas orang yang miskin, ketidakadilan bermaharajalela sehingga ada yang sanggup menghalalkan cara dan membunuh jiwa yang tak bersalah bagi mencapai matlamat yang mereka inginkan. Sampai bilakah akan wujud keamanan dan kemakmuran selagi nilai dan sifat kemanusiaan sepertimana yang dituntut oleh Ugama tidak dihidupkan dalam diri kita sendiri.

Adakah kita boleh mendakwa bahawa kita telah memilki ugama sekiranya nilai-nilai kemanusiaan yang perlu kita tuntut dalam diri kita tidak dihidupkan dan dilaksanakan.
Ugama menuntut kita untuk jangan marah, berbuat baik sesama manusia, tolong dan menolong antara manusia, berkasih sayang antara sesama manusia, mentaati segala perintah ugama, mentaati pemerintah yang baik, bagi tujuan pembangunan diri dan negara ugama juga menuntut kita berkerja bersungguh-sungguh seolah-olah kita akan hidup seribu tahun dan menyediakan bekalan di akhirat dan menuju jalan pulang mengadap Allah dengan tuntutan supaya kita beramal bersungguh-sungguh seolah-olah kita akan mati esok hari, Ugama juga menuntut kita mengguna mata, telinga, pemikiran dan kata-kata kita dengan baik agar kita dapat menuntut kemuliaan diri semulia-mulia diri, ugama menuntut kita berbuat perkara yang baik-baik dan yang tidak baik diketepikan agar dapat dijadikan pengajaran, ugama menuntut agar kita menafaatkan ilmu yang kita untuk kebaikan manusia sejagat , ugama juga menuntut kita sentiasa membuat amal jariah dan menuntut diri kita menjadi anak yang soleh.


Justeru itulah perlunya kita menuntut kemerdekaan diri kita sendiri supaya segala kerosakan dan kezaliman tidak berlaku dan mengakibatkan kesan buruk kepada orang lain. orang lain.

Islam itu menuntut sebuah pembangunan , pembangunan yang di madsudkan adalah pembangunan diri. Pembangunan sebuah negara bermula dari pembangunan setiap individu rakyatnya. Membangun dari segi pemikiran dari bodoh kepada pandai,dari pandai kepada bijaksana , dari miskin kepada senang dan dari senang kepada kaya dan seterusnya kaya kepada mewah. Itulah yang dinamakan membangun yang merupakan satu penghijrahan dari satu keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang baik, ugama menuntut satu membangun kearah kebaikan. Kita tidak akan melakukan kebaikan dan amalan dengan mengupah dan menyuruh orang lain melaksanakannya masakan orang lain makan kita akan berasa kenyang, bolehkan apabila kita sakit perut kita mengupah orang lain ketandas untuk membuatkan kita berasa lega. Segala apa yang kita lakukan akan dipersoalkan dihadapan Allah kelak sewaktu di Alam Masyar nanti. Kita juga akan dipertanggungjawabkan atas segala yang kita lakukan di dunia ini. Justeru itu adakah kita telah bersedia dan memerdekakan diri kita dari sifat-sifat keji yang berterusan menjadi hijab didalam hati kita untuk berhadapan dan mengenal Allah S.W.T

Merdekakan hati kita dari segala yang menghijabkan kita untuk bertemu dengan Allah S.W.T. Setiap halangan ke arah bertemu denganNnya perlu kita bersihkan satu persatu dengan cara mensucikan hati kita iaitu sentiasa mengingatiNya tidak putus-putus samada didalam keadaan duduk, baring , berdiri , berjalan dan berlari . Selagi diri kita berpeluang untuk bernafas di dunia ini selagi itulah tuntutan tersebut wajib kita laksanakan.

Bukankah itu ikrar yang kita laungkan setiap hari ketika setiap kali bersembahyang dalam doa iftitihah. Janji yang kita buat dihadapan Allah setiap hari dengan menyatakan ikrar dan janji untuk mengingatiNya pada pagi petang siang malam yang putus-putus dan berikrar bahawa hidup, mati, amal dan ibadah kita adalah semata-mata keranaNya.


PENGISIAN JIWA KEARAH KEMERDEKAAN DIRI SENDIRI

Bagaimanakah kita dapat mensyukuri nikmat Allah? Bagaimanakah caranya?
Kebanyakan kita masih diperhambakan oleh nafsu diri lantaran jiwanya yang masih miskin dan laparkan santapan rohani mengakibatkan jiwa kita sentiasa memberontak dan rasa resah dan meraung menuntut kemerdekaan dirinya sendiri. Lantas itu kita sentiasa dibelenggu dengan bisikan dan godaan pada pangkat, harta benda, kuasa dan wang ringgit. Punca pada kerakusan dan kemiskinan dan perhambaan ini adalah bermula dari penjajahan minda dan ditambah dengan kehendak nafsu-nafsi di dalam kita sehingga hilangnya sifat kemanusiaan.

Pengaruh dan amalan yang buruk seperti tamak didalam mengejar harta benda sehingga mengakibatkan kezaliman dan ketidakadilan dan pentingkan diri sendiri, pengaruh amalan hidup pengaulan bebas tanpa batas, budaya meminum arak yang merosakkan pertimbangan akal fikiran, fesyen pakaian yang mendedah aurat dan menjolok mata, penagihan dadah yang merosakan diri dan akal, pengaruh hiburan yang melekakan dan berlebihan dan banyak-banyak lagi pengaruh buruk

.

Soalannya..bagaimanakah untuk kita mengatasinya? Islam adalah ugama yang syumul dan suci. Ia dapat menjadikan sesuatu jiwa tenang .Ugama Islam dapat membersihkan jiwa dan minda yg kotor dengan berzikir bagi melahirkan jiwa yang suci dan mempunyai sifat-sifat kemanusiaan yang hakiki . Tuntutlah kemuliaan agama ini dengan penuh keikhlasan , sabar dan beramal dengan amalan yang soleh kerana ini akan membentuk kekuatan rohani dan diri. Islam menuntut kita bersatu padu, bantu membantu dan berkasih sayang di antara satu dengan lain. Dari kekuatan dirilah kita dapat mengukuhkan pertalian sirraturahim serta membentuk satu pakatan bagi merancang pentadbiran dan membangunkan ekonomi dan minda diri, memberi kemakmuran kepada negara dan dunia.


Dengan rohani yan bersih, nafsu yang terkawal, jiwa yang tenang dan akal yang boleh memikir kearah kebaikan. Oleh itu marilah kita bersama-sama merenung sejenak dan melangkah diri kita kearah kemerdekaan yang sebenarnya. Sesungguhnya kemerdekaan yang sebenar-benarnya adalah kita telah membebaskan diri kita daripada segala belenggu nafsu
jahat serta perbuatan yang mendatangkan kerosakan dari jasmani dan rohani. Merdekakanlah diri kita untuk menuju ke alam nyata dan realiti. Kita semua akan menghadapkan diri kita kepada Allah maka bebaskanlah diri kita dari segala sifat perhambaan yang menghalang diri kita kepadaNya. Oleh itu merdekalah diri kita dengan membuat amal kebaikan dan sentiasa berusaha dan berjuang melawan hawa nafsu bagi menambah ketaqwaan dalam hidup kita kerana apa yang kita akan bawa ketika menemui Allah S.W.T adalah amal, ibadah dan taqwa.

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !

KALENDAR MADRASAH HAJI ZABIR TAHUN 2007


Wednesday, March 7, 2007

PROGRAM AMALAN SEDEKAH JARIAH YANG BERTERUSAN MELALUI TANAMAN POKOK HERBA-Buletin MHZ edisi Jun 2006




Tuan Haji Zabir selaku penasihat kepada Madrasah dengan dibantu oleh beberapa
Ahli Jawatankuasa turut mengadakan dan menyediakan tempat dan saluran bagi pesakit dan orang ramai untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti dan program-program kebajikan yang lain seperti memberi sedekah kepada golongan kepada fakir miskin, membantu golongan yang di dalam kesusahan dan program membantu pesakit-pesakit akan datang yang memerlukan ubat dengan program amalan sedekah jariah yangberterusan melalui tanaman pokok herba.


Pihak Madrasah melalui AJK yang dilantik berusaha menjalankan aktiviti-aktiviti dan serta program kebajikan bagi menolong pesakit-pesakit dan golongan-golongan yang memerlukan.
Justeru itu pada 1hb Jun 2006 , pihak Madrasah telah melancarkan satu program amalan sedekah
jariah yang berterusan melalui tanaman pokok herba. Dengan pokok herba yang ditanam nanti diharapkan dapat membantu pesakit yang akan datang. Pihak Madrasah ada menyediakan anak-anak pokok herba tertentu dan juga telah membeli sebidang tanah untuk program ini.


Oleh itu Tuan Haji Zabir telah mencadangkan agar kepada sesiapa yang ingin membuat amal jariah yang berterusan faedahnya dan ganjaran kebaikannya bolehlah menyumbang melalui kaedah penanaman pokok herba ini. Manakala pihak Madrasah akan mengupah pekerja untuk menanam, menjaga dan membaja dan menuai hasil pokok-pokok herba tersebut .Setiap pokok herba akan diwakili seorang peserta amal jariah di mana namanya akan dinyatakan, di labelkan
mengikut nama penderma, dinyatakan tarikh ia ditanam dengan sedekah Al-Fatihah sebagai menghargai memperingati akan kemuliaan hati para penderma tersebut.


Apabila pokok herba ini telah membesar biak , maka bolehlah pokok tersebut di tuai bagi dijadikan ubat supaya ianya dapat membantu pesakit yang lain yang memerlukan. Ubat herba tersebut akan digunakan untuk merawat dan memulihkan pesakit-pesakit lain terutama melibatkan jenis penyakit-penyakit yang kronik di masa hadapan. InsyaAllah selagi pokok tersebut hidup, membesar dan membiak banyak dan berterusan pula memberikan manafaat kepada manusia dan makhluk Allah yang lain, mudahan-mudahan para peserta mendapat ganjaran amalan kebaikan dan pahala yang berterusan dari Allah S.W.T

Di harapkan dengan kaedah ini dapatlah kita menghidupkan amalan baik yang dituntut agar kita hidup bantu-membantu, tolong dan menolong sesama kita dan kepada golongan yang memerlukan. Di sini disamping seseorang pesakit itu berubat dengan cara rawatan yang disediakan, mereka juga dapat beramal jariah yang berpanjangan lagi berterusan dengan membantu pesakit akan datang yang lain. Orang ramai yang datang berkunjung ke Madrasah walaupun tidak menjalani rawatan juga berpeluang untuk menyertai program ini.
Semoga apa yang kita sumbangkan menjadi bekalan untuk diri kita di akhirat nanti.


Sepertimana Sabda Rasullulah s.a.w :

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati,
putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah dan sedekah yang baik semasa hidup, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” –
(Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312)









PENGENALAN DAN SEJARAH RINGKAS MADRASAH-Buletin MHZ edisi Jun 2006



Madrasah Haji Zabir telah siap dibina pada bulan September 2005. bertujuan untuk menyediakan kemudahan kepada pesakit-pesakit dan orang ramai untuk:


1) Menunaikan sembahyang

2) Berehat sambil menunggu giliran mendapatkan rawatan.

3) Membuat amalan-amalan seperti membaca Al-quran

berzanji dan berzikir dan menghidupkan amalan-amalan baik lain yang dituntut oleh ugama Islam.

4) Membuat majlis-majlis bercorak ugama seperti bertahlil dan majlis doa selamat dan majlis ilmu.


5) Membuat amalan kebajikan iaitu dengan menyediakan kemudahan, tempat dan saluran bagi orang ramai melaksanakan amalan yang baik-baik seperti bersedekah jariah untuk membantu pesakit-pesakit dan golongan yang di dalam kesusahan seperti fakir-miskin, anak yatim, orang tua dan ibu tunggal.


6) Tempat berkumpul, bermuzakarah dan bermesyuarat berbincang untuk pembangunan ugama.


7) Selain dari itu dengan kemudahan yang diadakan oleh pihak madrasah dan aktiviti-aktviti serta program yang disediakan ini dapatlah menghubungkan, merapatkan serta mengeratkan ikatan silaturrahim sesama kita dan kenal mengenal sepertimana yang dituntut oleh ugama dinyatakan pula dalam Al-Quran melalui firman Allah S.W.T dalam surah Al-Imran ayat ke-103

" Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan
janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu
dengan nikmat Islam), 'maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam
yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran
kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam
juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya
kamu mendapat petunjuk hidayatNya."


Madrasah Haji Zabir berpegang kepada 13 moto yang mencerminkan sifat-sifat kemanusiaan yang wajib ada di dalam diri setiap manusia sepertimana yang telah dituntut di dalam Ugama Islam. Pihak Madrasah
telah memaparkan papan kenyataan senarai moto tersebut di dalam surau agar ia sentiasa dapat diingati difahami, cuba dihayati dan dijadikan pula amalan hidup kepada barangsiapa sahaja yang membacanya.


13 Moto tersebut adalah :

1.Jangan Marah
2.Buat Baik
3.Tolong dan menolong
4.Sayang seseorang seperti sayangkan nyawa kita sendiri
5.Taat pada Ugama
6.Taat pada pemerintah
7.Siang bekerja bersungguh-sungguh, malam beramal bersungguh-sungguh
8.Mata, telinga, pemikiran, kata-kata guna dengan baik
9.Tuntut kemuliaan diri semulia-mulia diri
10.Yang baik dituntut, yang tak baik diketepikan
11.Ada ilmu disyafaatkan (dimanfaatkan)
12.Buat amal jariah
13.Jadi anak yang soleh

DEFINASI SEBUAH MADRASAH-Buletin MHZ edisi Jun 2006





Madrasah adalah satu tempat yang digunakan untuk orang ramai bertemu, berkumpul,
berhimpun, berbincang ataupun bermuzakarah untuk tujuan membangunkan ugama. Madrasah juga digunakan untuk belajar dan membuat kerja yang baik-baik. Madrasah juga sama maksudnya dengan "Balasah" di dalam bahasa arab atau balaisah atau balairaya dalam bahasa melayu.

Madrasah juga boleh berupa satu dewan, ruang , bilik atau bangunan atau sebuah rumah. Istilah Madrasah bukanlah semata-mata membawa maksud sekolah ugama, tetapi ia mempunyai maksud dan peranan yang lebih luas lagi. Di Madrasah orang ramai berjumpa, kenal-mengenal antara satu sama lain serta tempat untuk mengeratkan silaturrahim sesama manusia. Di Madrasah juga orang ramai berkumpul berbincang bagi mencari jalan keluar terhadap sesuatu permasalahan yang dihadapi dengan merujuk kepada orang yang Arif tentang sesuatu perkara tersebut bagi mendapatkan jalan keluar untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

Islam menuntut umatnya sentiasa bermuzakarah atau berbincang tentang hal pembangunan diri dan umat manusia. Supaya umat dapat membangun dari keadaan sempit kepada lapang,
dari lapang kepada luas. Membangun dari susah kepada senang, dari senang kepada kaya, dan dari kaya kepada mewah. Islam juga menuntut pembangunan minda dari keadaan bodoh kepada pandai, dari pandai kepada bijaksana pula. Di madrasah juga suatu perbincangan dilakukan untuk memecahkan minda supaya dapat akal dapat memikir dan mendapat kefahaman tentang apa itu ugama


Setelah mendapat satu kefahaman yang jelas tentang ugama kemudian hendaklah kita berpakat bersama-sama untuk membuat serta melaksanakan segala tuntutan ugama tersebut.
Islam juga menuntut umatnya berhijrah dari keadaan tidak baik, Di Madrasah sesuatu kerja yang baik-baik di rancang dan dikerjakan.


Sepertimana Firman Allah S.W.T dalam surah Ibrahim Ayat : 23

Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam Syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan
mereka; ucapan selamat sentiasa mereka dapati (dari malaikat) di dalam Syurga-syurga itu.


Dari Meja Pengerusi MHZ

Assalamualaikum.....


Kepada para pembaca yang budiman sekelian, bertemu kita di dalam edisi internet Buletin Madrasah Haji Zabir (BMHZ) yang merupakan rangkuman dari kandungan buletin MHZ untuk keluaran bulan Jun 2006 sehingga November 2006 dan edisi keluaran terkini tahun 2007 .Keluaran ini adalah hasil usaha dan buah fikiran dari kesemua ahli pihak pengurusan MHZ yang bertujuan untuk menampilkan suatu bahan bacaan yang berkesinambungan yang mencakupi berbagai bidang seperti ilmiah, fakta, informasi dan kreativiti. Selain dari itu keluaran ini juga akan memberikan peluang bagi para pembaca yang pertama kali membaca naskah ini agar dapat mengikuti keluaran pertama BMHZ sehingga yang terkini.

Seperkara ingin dinyatakan disini bahawa bahan-bahan yang disajikan di-dalam setiap keluaran buletin ini adalah bertujuan untuk dikongsikan bersama dengan para pembaca agar sumbangan yang sedikit dari pihak MHZ ini dapat memberikan manfaat serta berguna sebagai sumber pengetahuan kepada para pembaca sekelian. Semoga kandungan Buletin Madrasah Haji Zabir dapat dimanfaatkan dan cuba dihidupkan di dalam kehidupan kita seharian. InsyaAllah.